KELEBIHAN SOLAT SUNAT DHUHA...
Berkata Abu Murrah Ath-Tha’ifi r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. telah bersabda : Allah telah berfirman:
“Wahai anak Adam! Bersembahyanglah untuk Aku di awal pagi, niscaya Aku akan mencukupimu di akhirnya.”(Riwayat Ahmad)
Hadis Qudsi ini menganjurkan kita mengerjakan Solat Dhuha yang mana
antara faedahnya, Allah Ta’ala memberi jaminan akan melaksanakan segala
keperluan-keperluan keduniaan manusia setiap hari.
Antara
ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasullullah SAW sendiri
ialah solat sunat Dhuha. Banyak hadis-hadis yang mengalakkannya dan
menyatakan keutamaannya, antaranya dalam riwayat Abu Hurairah katanya:
“Kekasihku Rasullullah SAW telah berwasiat kepadaku tiga perkara, aku
tidak meninggalkannya, iaitu ; supaya aku tidak tidur melainkan setelah
mengerjakan witir, dan supaya aku tidak meninggalkan dua rakaat solat
Dhuha kerana ia adalah sunat awwabin, dan berpuasa tiga hari daripada
tiap-tiap bulan”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat yang lain Rasullullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :
“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang
kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu
sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai
ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha
.”(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Adapun kelebihan
sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda
Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan
menolak kepapaan."
Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW
bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya
nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih
dilautan.”(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Dan daripada
Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW
berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas
rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”(Riwayat
Ibnu Majah dan Tirmidzi)
Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik
matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir
tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas
terik.
Cara menunaikannya pula adalah sama seperti
sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh
juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut
sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil
yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis
yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang
Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis
riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)
Dalam sebuah hadis yang
lain Nabi SAW bersabda bermaksud : ” Barangsiapa yang menunaikan
sembahyang sunat Dhuha sebanyak dua rakaat tidak ditulis dia daripada
orang-orang yang lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang
menunaikan nya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada
orang-orang yang suka beribadat dan barangsiapa yang menunaikannya
sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa
menunaikanyan sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada
orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya
sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai didalam
syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai
pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan
kepada seseorang daripada hamba-hambaNya yang lebih baik daripada
petunjuk supaya sentiasa mengingatiNya,” (Riwayat At-Thabarani )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan